KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelebu, Dato’ Seri Jalaluddin Alias menyokong penuh pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang telah dibahaskan di Dewan Rakyat pada penggal ini.
Jalaluddin berkata, Rang undang-undang ini akan memberi sinar baharu bukan sahaja kepada penagih, malahan kepada keluarga mereka dan masyarakat.
“Ia sekali gus mampu memperkasakan usaha-usaha menangani penyalahguna dadah di Malaysia.
“RUU ini merupakan satu rencana yang seiring dengan langkah kerajaan untuk membendung masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dikalangan rakyat Malaysia dengan memberi perkhidmatan rawatan dan pemulihan yang lebih bersifat komprehensif dan memenuhi cabaran semasa.
“Ia juga membolehkan akses yang luas kepada individu yang ingin mendapatkan rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa karenah birokrasi yang panjang di mana individu boleh terus hadir ke pejabat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan mendapatkan khidmat nasihat dan mengikuti program secara sukarela,” kata beliau.
Menurut Jalaluddin, RUU ini dapat mengurangkan kesesakan di dalam penjara bagi kes-kes berkaitan penyalahgunaan dadah.
“Dengan tidak membelakangkan peranan pegawai perubatan yang masih diperlukan sebagaimana yang diperuntukkan didalam akta asal, pindaan ini hanya melibatkan perakuan bagi kes-kes sukarela sahaja untuk mempercepatkan proses rawatan dan pemulihan.
“Pegawai pemulihan di AADK dilihat mempunyai kompetensi yang tinggi untuk melaksanakan ujian dan saringan di peringkat ini melalui latihan yang dilaksanakan dan juga pegawai-pegawai ini diiktiraf sebagai pegawai pemulihan sejak tahun 1983 lagi.
“Diharapkan dengan lulusnya pindaan RUU ini dapat menjadi pemangkin dalam usaha dan komitmen kerajaan untuk menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah selari dasar Dadah Terkawal 2025,” ujar Jalaluddin lagi yang juga Exco Kerajaan Negeri Sembilan dan ADUN Pertang.