Jangan tembak kaki sendiri

TAMPIN: Presiden UMNO, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tampin.
Zahid berkata, beliau hadir ke Tampin bukan sekadar merasmikan mesyuarat perwakilan, tetapi membawa harapan agar UMNO Bahagian Tampin terus diperkukuh dalam mendepani apa jua cabaran perjuangan.
“Medan mesyuarat ini mesti dijadikan wadah menyusun strategi dan perancangan yang lebih tuntas.
“Di Tampin, kita bukan hanya mahu bertahan.
“Kita mahu kekalkan kemenangan di Parlimen dan DUN Gemencheh, malah memastikan DUN Gemas kembali dalam genggaman.
“Untuk menang, kebersamaan adalah kunci kekuatan. Yang lama, yang baharu, yang muda dan yang berpengalaman. Semua mesti bergerak seiring sebagai satu pasukan,” ujar beliau.
Zahid juga menegaskan bahawa perjuangan UMNO bukan hanya tentang politik.
“Kita sedang membina masa depan bangsa melalui pendidikan, ekonomi dan pembangunan.
“Saya bangga dengan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa dan seluruh kepimpinan Tampin yang kekal konsisten menyantuni rakyat.
“Teruslah gerakkan seluruh jentera cawangan dan bergeraklah sebagai satu pasukan.
“Insya Allah, kejayaan milik kita bersama,” kata Zahid.
Dalam pada itu, Zahid dalam ucapan perasmian telah menasihatkan ahli UMNO agar mengikis budaya ‘menembak kaki sendiri’.
“Tiga penyatuan yang harus diambil berat iaitu penyautan pemikiran, penyatuan hati nurani dan penyatuan tindak tanduk,” nasihat Zahid.