Berita

Jawatankuasa Khas MKI jadi rujukan Negeri Sembilan

SEREMBAN: Jawatankuasa Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) akan menjadi rujukan Kerajaan Negeri Negeri Sembilan terhadap kesan keputusan Mahkamah Syariah Persekutuan pada Jumaat lalu yang membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, walaupun begitu tiada sebarang keperluan untuk menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat negeri.

“Hal ini disebabkan oleh jawatankuasa di peringkat MKI sahaja sudah mencukupi.

“Saya sendiri melihat bahawa ahli jawatankuasa yang dilantik itu terdiri daripada bekas hakim-hakim daripada mahkamah tinggi dan syariah yang sudah pasti dapat memberikan keputusan yang terbaik,” kata Aminuddin.

Aminuddin turut tambah bahawa sekiranya ada mana-mana pihak yang bertindak mencabar enakmen di negeri masing-masing adalah hak mereka.

“Kuasa mencabar enakmen sesuatu negeri adalah hak sebagai rakyat Malaysia.

“Tetapi saya yakin bahawa selepas ini ia akan menjadi satu pengajaran kepada kita supaya menjadi lebih teratur dan lebih baik kerana mempunyai garis panduan yang jelas melalui ketetapan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam,” ujar beliau.

Aminuddin berkata demikian di sidang media Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi pada malam Khamis.

Show More

Related Articles

Back to top button