Berita

Jika ada orang dalam jadi broker, hari ini juga saya pecat: Dato’ Bandar

SEREMBAN: Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Masri Baharuddin berkata, sekiranya terdapat orang dalam yang menjadi broker dalam isu sewa tapak bazar Aidilfitri, beliau sendiri akan memecat pegawai tersebut.

“Kita bercakap mestilah berfakta, bukan sekadar khabar angin.

“Jika terdapat peniaga yang membayar RM8,000 sehingga RM14,000 untuk tapak di bazar di Dataran Senawang, sila kemukakan bukti dan nyatakan penganjur mana.

“Ini kerana mereka telah diingatkan untuk mematuhi kadar yang ditetapkan oleh MBS,” kata Masri.

Masri berkata demikian dalam satu sidang media bagi menjelaskan isu harga tapak niaga bazar Aidilfitri Dataran Senawang.

Walau bagaimanapun, pengadu yang mendakwa membayar kadar sewa pada harga yang melampau tidak hadir dalam pertemuan yang dirancang.

Dalam pada itu, Masri turut menambah bahawa beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan termasuklah membatalkan dan menarik kebenaran menganjurkan bazar.

“Kadar tapak niaga bazar Ramadan dan Aidilfitri telah dipamerkan di laman sesawang MBS untuk pengetahuan umum dan ketelusan dengan peniaga boleh merujuk harga di laman berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kita kesal bagaimana isu ini boleh berbangkit sedangkan semua urusan perlu mengikut kadar ditetapkan, penganjur tidak boleh caj harga melebihi kadar ditetapkan MBS,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button