Berita

JKR Kuala Pilah arah henti kerja korek jalan tanpa permit di FT51

KUALA PILAH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah mengeluarkan arahan serta-merta supaya kerja-kerja pengorekan jalan di Jalan Persekutuan FT51, berhampiran Richamo Cafe dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah dihentikan selepas didapati dijalankan tanpa kelulusan permit yang sah.

Tindakan itu diambil susulan pemeriksaan mengejut oleh Jurutera Daerah JKR Kuala Pilah pada jam 12.30 tengah hari semalam terhadap kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor utiliti di lokasi berkenaan.

Hasil semakan mendapati pihak terbabit gagal mengemukakan permohonan permit yang sah daripada JKR selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi kerja-kerja melibatkan jalan persekutuan.

Sehubungan itu, arahan henti kerja dan amaran tegas telah diberikan kepada kontraktor serta pihak utiliti yang terlibat.

JKR Kuala Pilah dalam penegasannya memaklumkan tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan risiko kecelakaan kepada pengguna jalan raya, menjamin kelancaran aliran trafik serta memelihara mutu dan integriti jalan sedia ada sebagai aset kerajaan.

Menurut kenyataan itu, sebarang kecelakaan, kerosakan atau insiden yang berlaku akibat pelaksanaan kerja tanpa kebenaran dan pengetahuan pihak JKR adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pihak yang melaksanakan kerja berkenaan.

“Jalan merupakan aset kerajaan yang wajib dipelihara dengan penuh tanggungjawab demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“JKR Kuala Pilah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi prosedur, syarat permit dan garis panduan kerja yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button