Berita

Kad Anak tawar rawatan percuma kepada anak yatim

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun melancarkan Program Kad Anak Poliklinik Dr.Aizuddin yang menawarkan kemudahan rawatan kesihatan dan ubatan percuma kepada anak-anak yatim.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada setiap agensi atau persatuan NGO memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu golongan sasar yang memerlukan tanpa mengira kaum supaya dapat menjalani kehidupan lebih sempurna.

“Rawatan percuma kepada anak-anak yatim ini sememangnya suatu bantuan yang bersasar kepada mereka yang memerlukan, terutama dalam keadaan sosioekonomi yang mencabar sekarang.

“Saya yakin dengan usaha Kad Anak ini akan dapat meringankan beban kepada penjaga masing-masing, dan secara tak langsung tidak mengharapkan perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan yang berada di luar kawasan,” katanya.

Aminuddin berkata, beliau menggalakkan lebih banyak klinik dan pusat perubatan memperkenalkan program Kad Anak.

“Ambillah kesempatan ini untuk beramal dan bersedekah secara langsung kepada anak-anak yatim ini.

“Cukuplah sekadar memberi harga istimewa atau potongan harga ke atas barangan niaga untuk anak-anak ini membeli keperluan asas dengan harga yang lebih murah jikalau tidak mampu memberikan secara percuma.

“Penghargaan kepada Dr. Hanafi Yahya, Dr.Fariza, Dr.Mohamad Aizuddin Ahamad dan Puan Munirah yang berjiwa besar di Negeri Sembilan, tampil membantu anak-anak yatim di sini,” ujar beliau.

Show More

Related Articles

Back to top button