KAMPUNG ANGKAT MADANI: Kampung Tanah Melintang terima pembangunan berjumlah RM1 juta

KUALA PILAH: Kementerian Kewangan (MOF) telah meluluskan pemilihan Kampung Tanah Melintang di bawah program Kampung Angkat MADANI (KAM) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2025 dengan peruntukan berjumlah RM1 juta yang meliputi pembangunan infrastruktur awam, bekalan fasiliti awam, program rakyat dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Dato’ Seri Isham Ishak berkata, pelaksanaan Program KAM ini adalah bertujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek berteraskan rakyat terutamanya dalam konteks melengkapkan kemudahan asas dengan penglibatan komuniti setempat serta jalinan kerjasama antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta.
“Projek-projek yang telah diluluskan di KAM Tanah Melintang termasuklah pembinaan mercu tanda kampung, penurapan jalan sepanjang 300 meter di dalam kampung, kerja-kerja membaik pulih atap rumah melibatkan sebanyak 10 buah rumah milik penduduk kampung, pemasangan pagar dan papan tanda kubur, pemasangan 14 unit lampu solar, pembelian seunit van jenazah, penganjuran Program Kenduri Rakyat dan pelaksanaan kursus/latihan TVET berkenaan tanaman cendawan tiram kelabu dan kursus penghasilan sos cili.
“Kerajaan Turkiye, melalui Kedutaan Besar Turkiye di Malaysia, telah berbesar hati memberikan sumbangan bagi memudahkan pembelajaran anak-anak di Kampung Tanah Melintang serta Sekolah Kebangsaan Tanah Melintang.
“Sumbangan ini bertujuan memperluas akses kepada kemahiran digital dalam kalangan golongan muda dan mendedahkan mereka kepada penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran di sekolah.
“Antara sumbangan yang akan diberikan oleh pihak Kerajaan Turkiye ialah 15 buah laptop untuk 15 orang anak-anak kampung, lapan unit papan pintar (smart board) untuk kegunaan dalam kelas, satu set sistem bunyi (sound system) di dalam dewan, serta dua set kerusi dan meja di makmal komputer Sekolah Kebangsaan Tanah Melintang.
“Nilai keseluruhan sumbangan dianggarkan sebanyak RM150,000,” jelas beliau.
Dalam pada itu, pada majlis ini turut diadakan penyerahan bakul makanan kepada 20 penduduk kampung serta sumbangan daripada PUSPANITA Cawangan KPKM berupa karpet surau kepada Sekolah Kebangsaan Tanah Melintang.
“Kementerian juga sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk membangunkan sektor pertanian melalui pendekatan penyatuan komuniti dan pemanfaatan tanah terbiar termasuk di Negeri Sembilan.
“Projek tanaman jagung bijan di kawasan Juasseh merupakan antara projek perintis terkini yang menunjukkan kejayaan awal menerusi konsep penyatuan tanah dan penyertaan komuniti setempat.
“Beliau menambah, Kampung Tanah Melintang tersebut juga berpotensi bagi tanaman kelapa, jagung, dan sayur-sayuran tradisi seperti maman.
“KPKM yakin dengan kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan komuniti kampung, tanah-tanah terbiar di seluruh negara boleh diaktifkan semula dan menjadi sumber keterjaminan makanan negara,” kata Isham.
Turut hadir, Wakil Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, Tolga Uçak; Ahli Parlimen Kuala Pilah, Dato’ Adnan Abu Hassan dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Pilah, Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.