Berita

Kampung Teluk Kemang bebas banjir: Nasir

BAGAN PINANG: Kampung Teluk Kemang sebelum ini merupakan kawasan yang biasa dinaiki air; tidak terjejas dengan kejadian banjir yang melanda Negeri Sembilan baru-baru ini.

Penyelaras DUN Bagan Pinang, Tuan Nasir Rahman berkata, kawasan yang terjejas banjir pada hujung tahun lepas ialah Kampung Si Rusa, Kampung Bagan Pinang, Kampung Baru Si Rusa dan Ladang Siliau.

“Namun, Kampung Teluk Kemang bebas daripada kejadian banjir.

“Ini adalah hasil tindakan proaktif Pengerusi MPKK Teluk Kemang, Encik Zulkifli Zakaria dan ahli jawatankuasanya serta saya sendiri telah menangani masalah-masalah berkaitan saliran di kampung tersebut.

“Saliran-saliran yang sedia ada dibersihkan dan diselenggara bagi memastikan laluan air dapat berfungsi dengan baik dan dapat menampung jumlah air yang masuk terutamanya ketika musim hujan,” jelas Nasir.

Nasir berkata, kerja-kerja penyelenggaraan telah dibuat sepanjang tahun 2020 dan 2021 bersama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Port Dickson.

“Hasil usaha tersebut, 30 buah rumah di Kampung Teluk Kemang yang sebelum ini kerap dinaiki air tidak terjejas walaupun hujan lebat berlarutan selama beberapa hari di kawasan ini.

“Tahniah diucapkan kepada pihak MPKK Kampung Teluk Kemang dan ahli jawatankuasanya di atas tindakan proaktif tersebut,” kata Nasir.

Show More

Related Articles

Back to top button