Kolumnis

Ke manakah hala tuju NSFC?

SEREMBAN: Perletakan jawatan Ketua Jurulatih Negeri Sembilan Football Club (NSFC), Nidzam Jamil malam tadi membuka persoalan besar mengenai hala tuju skuad Hobin Jang Hobin itu bagi baki musim ini serta perancangan menghadapi musim hadapan.

Berdasarkan rekod 16 perlawanan pertama musim 2025/2026 di bawah kendalian Nidzam, NSFC mencatat empat kemenangan, lima keputusan seri dan tujuh kekalahan.

Prestasi itu menunjukkan peningkatan berbanding musim 2024/2025 yang menyaksikan skuad berkenaan merekodkan tiga kemenangan, empat seri dan sembilan kekalahan dalam tempoh sama, ketika pasukan belum berada di bawah bimbingan beliau.

Perbandingan statistik tersebut memperlihatkan perubahan yang berlaku secara berperingkat, bukannya mendadak.

Malah, terdapat peningkatan dari segi kutipan mata dan daya saing pasukan meskipun masih berdepan isu konsistensi.

Namun begitu, tekanan dalam saingan liga utama serta harapan tinggi penyokong setia NSFC terus menjadi faktor utama penilaian terhadap prestasi pasukan.

Dalam kalangan peminat, timbul persoalan sama ada desakan berterusan agar berlaku perubahan di posisi ketua jurulatih menjadi antara punca Nidzam mengambil keputusan melepaskan jawatan, walaupun proses pembinaan semula pasukan dilihat sedang berjalan.

Keputusan pemilihan pengendali baharu serta strategi jangka pendek dan panjang bakal menjadi penentu sama ada NSFC mampu memperkukuh kedudukan bagi baki musim ini dan seterusnya tampil lebih kompetitif pada musim 2026/2027.

Apa yang pasti, penyokong kini menantikan pelan jelas daripada pihak pengurusan dalam menentukan arah sebenar kelab yang suatu ketika dahulu pernah mencipta kejutan dalam saingan bola sepak tanah air.

Show More

Related Articles

Back to top button