Kelayakan kemahiran usaha KBS kukuh peranan pekerja belia

SEREMBAN: Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu telah merasmikan Majlis Pentauliahan Profesionalisme Kerja Belia Kali Ke-2 Tahun 2025 di Klana Resort, Seremban.
Majlis ini meraikan 277 pekerja belia yang berjaya menamatkan latihan serta memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, manakala dua penerima turut menerima Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) atas peranan mereka sebagai pembangun Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
Inisiatif ini merupakan langkah strategik KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dalam memperkukuh peranan pekerja belia sebagai ejen perubahan, berperanan membentuk generasi muda yang berdaya kepimpinan, berkarakter tinggi dan bersemangat kesukarelawanan.
KBS berharap agar semua penerima pentauliahan menjadi pemangkin pembangunan komuniti belia di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Rakan Muda Mahir dan Dasar Belia Malaysia 2025.



