Kempen anti dadah di pawagan TGV seluruh negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengatur strategi melalui kerjasama TGV Cinemas dan Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur bagi Kempen Belia Bebas Dadah.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, video kesedaran dadah akan ditayang sebelum setiap filem di seluruh negara.
“Saya optimis TGV Cinemas yang memiliki 325 skrin di 40 lokasi seluruh negara bersedia menjadi platform pendidikan terbaik bagi golongan belia dan keluarga.
“Kami libatkan 100 belia dan ibu bapa dari PPR terpilih serta atlet negara iaitu Mohamad Aniq Kasdan, Nor Farah Ain Abdullah dan Datuk Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah sebagai duta.
“Ini bukan sekadar kempen tetapi komitmen Kerajaan MADANI membina komuniti utuh dan prihatin.
“Pawagam bukan hanya untuk tonton filem tetapi ia juga adalah ruang semai nilai positif.
“Saya yakin langkah proaktif ini mampu galak belia jauhi dadah sekali gus memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN),” ujar Hannah.
Hannah merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk rangkaian pusat beli belah di bawah kumpulan Sunway.
“Bersama kita perkasa belia dan perkasa Malaysia,” kata beliau.