BeritaMenarik

Kemudahan asas di Gua Pelangi perlu dinaiktaraf: VEERAPAN

JELEBU: Kemudahan asas di kawasan Gua Pelangi, Pasoh perlu dinaiktaraf dengan kemudahan jalan masuk yang sempurna di mana ia perlu diturap sepanjang ke Gua Pelangi bagi memudahkan perjalanan para pelancong.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam berkata, galeri eco pelancongan di kawasan ini juga perlu dinaiktaraf supaya ia menjadi tarikan para pelancong tempatan dan luar negara di samping memudahkan fasiliti parkir kereta.

“Kemudahan dewan (sesi taklimat), surau dan tandas juga perlu diwujudkan untuk kegunaan para pelancong.

“Saya difahamkan bahawa sebanyak 32 aktiviti dijalankan di kawasan ini bagi menarik pelancong yang juga perlu diperhebatkan dengan dukungan Kerajaan Negeri Sembilan bagi menjadikan destinasi ini sebagai mercu bagi eco pelancongan.

“Saya juga difahamkan bahawa Koperasi Pelancongan Hanya D’Pasoh Berhad telah memohon 1.6 hektar kepada Kerajaan Negeri Sembilan bagi menaiktaraf kawasan ini supaya ia dapat dibangunkan sebagai kawasan eco pelancongan dengan kemudahan termasuk homestay dan kemudahan asas yang lain dan permohonan ini perlu diluluskan demi pembangunan kawasan ini,” kata Veerapan.

Veerapan menambah, kawasan ini yang statusnya sebagai Hutan Simpan Kekal perlu dikekalkan demi kelangsungan aktiviti pelancongan serta para ahli koperasi di kawasan ini.

“Saya juga ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri Sembilan supaya kajian mendalam mengenai Gua Pelangi ini perlu dijalankan dengan pakar Arkeologi universiti tempatan dalam mendapatkan sejarah lokasi ini di samping melantik pengurusan untuk menguruskan aktiviti dan kemudahan.

“Selari perkembangan aktiviti pelancongan di kawasan ini, produk usahawan tempatan di sini juga akan dapat dipasarkan kepada pelancong tempatan serta luar negara.

“Dengan proses menaiktaraf kawasan ini, saya percaya Gua Pelangi ini akan menjadi tarikan pelancong di Negeri Sembilan di samping membangunkan aktiviti eco pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk tempatan menerusi koperasi,” jelas Veerapan.

Veerapan berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) juga perlu buat intervensi untuk membangunkan produk pelancongan ini, di samping Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) juga perlu menjaga biodiversiti di kawasan ini dan seterusnya memberikan peruntukkan bagi tujuan tersebut mengikut keperluan utama.

“Di peringkat negeri, Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan juga perlu memainkan peranan mereka untuk melindungi kawasan ini.

“Maka saya berpandangan bahawa kerjasama yang erat antara agensi persekutuan dan negeri perlu, dengan memberi perhatian yang khusus kepada kawasan ini serta Kerajaan Negeri Sembilan juga perlu memperuntukkan sejumlah besar peruntukan dalam Belanjawan 2025 sebagai usaha mewujudkan kawasan eco pelancongan yang baru dan ia seterusnya akan melariskan perkembangan ekonomi negeri,” ujar beliau.

Veerapan berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Gua Pelangi dalam sesi Program Eksplorasi Perniagaan Koperasi Negeri Sembilan mengikut daerah bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Sembilan, MOTAC dan PKNNS.

Show More

Related Articles

Back to top button