Menarik

Kerajaan MADANI Catat Kejayaan Ekonomi Cemerlang 2024

KUALA LUMPUR: Tahun 2024 mencatatkan kejayaan gemilang bagi Kerajaan MADANI melalui pelbagai lonjakan ekonomi hasil usaha berterusan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Salah satu inisiatif utama adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menumpukan kepada pelaburan strategik, pembangunan tenaga kerja, dan sokongan terhadap industri berteknologi tinggi, selaras dengan visi Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Menurut Provos Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, pelaksanaan NIMP 2030 pada suku kedua 2024 menunjukkan hasil memberangsangkan, termasuk penciptaan 200,000 peluang pekerjaan baharu yang meningkatkan kadar pekerjaan negara sebanyak 0.9 peratus.

Hab Pekerjaan Teknologi Tinggi

Beliau menegaskan, peluang pekerjaan baharu ini bukan sahaja membantu rakyat, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan pentingnya penyesuaian kepada perubahan sektor pekerjaan yang kini lebih tertumpu kepada tenaga kerja separuh mahir dan mahir.

“Dengan 70 peratus daripada 17 juta pekerja di Malaysia tidak mahir, latihan segera diperlukan.

Ini juga memberi isyarat kepada Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) untuk melabur lebih banyak dalam program peningkatan kemahiran,” katanya kepada Bernama.

Sebagai langkah awal, Kerajaan MADANI telah memberi latihan kepada 1,057 pakar teknikal, membuktikan komitmen mereka untuk membangunkan modal insan yang berkemahiran tinggi sesuai dengan keperluan industri moden.

Dr Barjoyai menyarankan pendekatan lebih proaktif dalam menyediakan latihan jangka pendek seperti ‘micro-credential’ selama satu hingga tiga bulan di institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan data raya.

Hadiah Ekonomi Buat Rakyat

Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan pula menyifatkan pencapaian ekonomi Kerajaan MADANI sepanjang 2024 sebagai hadiah bermakna kepada rakyat.

Pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika adalah antara bukti kestabilan ekonomi negara.

“Kestabilan politik sepanjang lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI menjadi faktor utama keyakinan pelabur asing.

Ini membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada pembangunan dasar ekonomi seperti NIMP 2030,” katanya.

Beliau menambah, konsep MADANI yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi fokus kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, sejajar dengan usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan menerusi latihan teknikal.

“Penekanan kepada teknologi moden ini bukan sahaja mempercepatkan pembangunan ekonomi, tetapi juga memastikan rakyat Malaysia lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan masa hadapan,” katanya.

Kerajaan MADANI terus melangkah maju dengan usaha gigih, membuktikan keupayaan untuk membawa transformasi ekonomi yang lebih mampan dan inklusif bagi manfaat seluruh rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button