Berita

Program Muzium@Komuniti semai semangat cintakan warisan adat Jelebu

JELEBU: Program Muzium@Komuniti: Kenali Muzium Adat yang berlangsung di Dewan Taman Bukit Mahogani menyerlahkan semangat perpaduan dan kecintaan terhadap warisan budaya Negeri Sembilan apabila menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan untuk mengenali lebih dekat adat dan sejarah negeri beradat itu.

Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, program berkenaan menjadi wadah penting mempertemukan masyarakat dengan khazanah adat resam yang semakin dilupakan, selain memperkukuh nilai Malaysia MADANI yang menekankan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Program ini bukan sekadar memperkenalkan sejarah dan kebudayaan, tetapi juga mengukuhkan nilai Malaysia MADANI — harmoni dalam kepelbagaian, kukuh dalam kebersamaan.

“Penglibatan masyarakat berbilang kaum termasuk kanak-kanak dan warga emas membuktikan bahawa adat bukan sekadar pakaian atau upacara, tetapi akar kepada kesantunan dan budi yang membentuk jati diri bangsa.

“Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program seperti pertandingan mewarna dan demonstrasi masakan tradisional, yang bertujuan menyemai semula rasa cinta terhadap warisan budaya dan adat tempatan.

“Sesungguhnya, muzium bukan sekadar tempat menyimpan artifak, tetapi ruang menghidupkan kenangan, membina kefahaman dan menjambatani perpaduan rakyat,” ujar Zamrah.

“Inisiatif seumpama ini bukan sahaja menghidupkan semula warisan bangsa, malah mengukuhkan ikatan komuniti serta memperkukuh identiti Negeri Sembilan sebagai negeri yang kaya dengan adat dan budaya,” tambah beliau.

Beliau berharap program seperti Muzium@Komuniti dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai jambatan antara ilmu, budaya dan masyarakat, selaras dengan hasrat menjadikan Negeri Sembilan terus unggul sebagai Negeri Beradat.

Show More

Related Articles

Back to top button