BeritaMenarik

Kerajaan Negeri peka dan ambil berat masalah rakyat

SEREMBAN: Kerajaan Negeri sentiasa peka dan mengambil berat isu dan permasalahan rakyat berhubung kos sara hidup yang semakin meningkat saban hari.

Exco (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Pertang) berkata, melalui Belanjawan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024, Kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan dan langkah dengan memperkenalkan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) yang merupakan suatu bentuk bantuan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM29.75 juta.

“Antara inisiatif di bawah SSR adalah bantuan kemasukan ke sekolah asrama penuh sebanyak RM300 dan bantuan perkahwinan RM500 kepada setiap anak negeri yang mendirikan rumah tangga kali pertama.

“Sumbangan keceriaan tahunan RM200 kepada ibu tunggal berpendapatan bawah RM2,000; sumbangan keceriaan tahunan RM200 kepada warga emas berumur 70 tahun ke atas dan Bantuan Food Bank untuk keluarga termiskin dalam sistem e-Kasih.

“Selain bantuan SSR ini, antara bantuan lain yang turut dikekalkan dan diteruskan Kerajaan Negeri adalah Bantuan Anak Sekolah (B.A.S) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM900,000 dan Biasiswa Anak Negeri untuk pelajar sekolah menengah dengan peruntukan sebanyak RM800,000,” jelas Jalaluddin.

Jalaluddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan ADUN Rantau, YB Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Ke-15.

Menurut Jalaluddin lagi, sebanyak RM3.6 juta turut diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Dermasiswa Sara Hidup yang merupakan bantuan sara hidup RM150 sebulan untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Selain daripada bantuan secara berkala dan one-off, antara intervensi Kerajaan Negeri dalam mendepani masalah kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat Negeri Sembilan secara amnya adalah dengan melalui inisiatif-inisiatif peningkatan pendapatan yang melibatkan golongan miskin tegar, miskin dan B40 di kawasan bandar mahupun di luar bandar.

“Inisiatif seperti Tabung Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), dan TUNS Plus dapat memberi manfaat kepada usahawan berskala kecil untuk mengembangkan perniagaan dan produk usahawan dan secara tindak langsung dapat meningkatkan pendapatan mereka.

“Sehingga kini, seramai 6,135 usahawan telah menerima manfaat daripada Inisiatif TUNS sejak diperkenalkan pada tahun 2019 melibatkan 2,616 usahawan dari luar bandar (Jempol, Jelebu, Tampin, Kuala Pilah dan Rembau). Manakala Inisiatif TUNS Plus telah memanfaatkan seramai 616 usahawan sejak tahun 2021.

“Kerajaan Negeri turut menjalinkan kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

“Terdapat empat inisiatif di bawah IPR iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN); Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN); Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT),” jelas Jalaluddin lagi.

Jalaluddin berkata, objektif IPR ini merupakan suntikan bantuan daripada Kerajaan bagi memastikan golongan sasar iaitu miskin tegar, miskin dan B40 dapat meningkatkan pendapatan melalui bantuan kewangan, khidmat nasihat serta kursus-kursus yang ditawarkan oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

“Dalam mendepani ketidaktentuan prestasi ekonomi Malaysia secara khususnya dan dunia secara amnya, Kerajaan Negeri sentiasa merangka strategi dan langkah bersesuaian bagi mengurangkan kesan dan impak kenaikan kos sara hidup ini agar rakyat di Negeri Sembilan dapat menjalani kualiti hidup yang lebih baik,” ujarnya.

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button