Berita

Kerajaan Negeri Sembilan peruntuk RM570 ribu kepada Sekolah Agama Rakyat

Bantuan RM440,000 kepada Tadika Islam

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan bantuan One-Off sebanyak RM1.01 juta kepada 57 Sekolah Agama Rendah (SAR) dan 44 Tadika Islam.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAINS pada 14 Jun 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan One-Off sebanyak RM10,000 kepada setiap 57 SAR dan 44 Tadika Islam di seluruh negeri.

“Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Negeri Sembilan adalah merupakan sekolah yang dibangunkan oleh komuniti setempat dan didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996.

“Tanggungjawab membangunkan SAR secara keseluruhan adalah terletak di bawah Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS).

“Namun, Kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) boleh menyalurkan bantuan yang difikirkan perlu tertakluk kepada peruntukan semasa,” kata beliau.

Menurut Aminuddin, berdasarkan rekod pada tahun 2022, terdapat 57 buah SAR yang didaftarkan di bawah enakmen.

“Daripada jumlah ini, 21 buah SAR telah pun menerima peruntukan pembangunan negeri P63 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan pada tahun 2020.

“Ini merupakan bantuan pembangunan yang julung kali diberi oleh kerajaan negeri kepada SAR berdasarkan data 2008-2019.

“SAR terlibat telah dipilih berdasarkan penilaian mengikut keutamaan keadaan fasiliti semasa.

“Proses penyaluran bantuan tersebut sedang dalam tindakan pihak MAINS,” jelas Aminuddin.

Show More

Related Articles

Back to top button