SEREMBAN: Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan tidak pernah meluluskan lesen pengeluaran balak kepada syarikat swasta sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2018.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun (Sikamat) berkata, semua lesen pembalakan kepada konsesi balak sejak tahun 2019 hingga 2021 adalah diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.
“Kerajaan Negeri pada hari ini akur dengan kelulusan tersebut kerana tidak mahu melanggar kontrak yang akan menimbulkan lebih banyak masalah.
“Untuk makluman, lesen yang dikeluarkan sejak tahun 2018 hanyalah kepada Yayasan Negeri Sembilan dan pemilik tanah sahaja dengan jumlah keluasan 3,706 hektar dan melibatkan kutipan hasil RM9.33 juta kepada Kerajaan Negeri.
“Pada tahun 2019 seramai 17 orang pemilik tanah telah diberi kelulusan, tahun 2020 seramai 22 orang manakala 27 orang pemilik tanah menerima kelulusan pada tahun 2021.
“Secara perbandingan, Kerajaan Negeri terdahulu telah meluluskan tanah seluas 3,172 hektar pada tahun 2016 dan 3,318 hektar pada tahun 2017,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Serting, YB Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli (BN) di Persidangan Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada Selasa.