Kerja-kerja naik taraf selekoh berbahaya di Taman Sri Rompin hampir siap

JERAM PADANG: Kerja-kerja menaik taraf selekoh berbahaya di Taman Sri Rompin telah hampir siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Dato’ Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, antara kerja-kerja yang telah dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab termasuklah menurap semula permukaan jalan, membina semula garisan jalan, memasang perabot jalan baharu, memasang pepaku jalan (road stud) dan memasang papan tanda baharu.
“Namun begitu, dalam pemerhatian saya, terdapat beberapa perkara yang masih memerlukan perhatian lanjut.
“Antaranya, papan tanda baharu yang dipasang telah dilindungi oleh dahan dan daun pokok sehingga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya.
“Justeru itu, saya memohon agar pihak JKR Jempol (JKR) mengambil tindakan segera untuk menyelenggara pokok-pokok tersebut bagi memastikan papan tanda dapat dilihat dengan jelas,” kata Mohd Zaidy.
Mohd Zaidy berkata, selain itu, beliau juga ingin merayu kepada pihak JKR agar melaksanakan pemasangan lampu blinker pada papan tanda chevron di selekoh berkenaan.
“Ini amat penting bagi memberi amaran yang jelas kepada pemandu terutamanya pada waktu malam bahawa terdapat selekoh tajam dan berbahaya di hadapan.
“Keselamatan pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai wakil rakyat.
“Saya percaya dengan tindakan susulan ini, ia akan memberi impak besar dalam mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tersebut,” jelas beliau lagi.