
SRI TANJUNG: Aspek keselamatan dan kualiti pembinaan diberi penekanan utama dalam pelaksanaan Projek Pembinaan Bangunan Prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Port Dickson bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat serta kondusif untuk murid.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dato’ Dr G Rajasekaran berkata, projek itu bukan sekadar menambah kemudahan fizikal, sebaliknya merupakan pelaburan penting dalam memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di kawasan berkenaan.
“Pendidikan prasekolah adalah asas kepada pembentukan generasi masa depan dan setiap peruntukan kerajaan perlu diterjemahkan kepada hasil binaan yang berkualiti serta selamat digunakan.
“Projek ini bukan sekadar membina struktur, tetapi menyediakan ruang tumbesaran yang terbaik untuk anak-anak kita.
“Saya mahu pastikan setiap sen pelaburan kerajaan benar-benar memberi manfaat dan menjamin keselamatan,” katanya selepas menghadiri Taklimat Laporan Keselamatan dan Kesihatan projek berkenaan.
Projek tersebut melibatkan pembinaan dua bilik darjah yang luas dan selesa selain kemudahan sokongan lain yang dibina mengikut piawaian ditetapkan.
Rajasekaren turut tambah, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) sepanjang tempoh pembinaan turut diberi perhatian serius bagi memastikan kerja-kerja berjalan lancar tanpa menjejaskan sesi pembelajaran murid sedia ada.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang komited memastikan projek itu dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan demi kepentingan pendidikan anak-anak Sri Tanjung.



