
Wacana berkenaan dasar penyasaran subsidi petrol telah bermula di Malaysia semenjak zaman Perdana Menteri ke-4 lagi (awal 2000-an), namun perlaksanaannya hanya dapat dilakukan pada zaman Perdana Menteri ke-10 (2025).
Perlaksanaan dasar berkenaan yang memakan masa hampir 25 tahun bukan hanya disebabkan perlaksanaannya yang rumit, namun ia turut melibatkan keazaman politik pemerintah untuk melaksanakannya.
Kerumitan perlaksanaan dasar subsidi petrol bersasar tidak hanya terkait dengan kesediaan infrastruktur dan pengawalan ketirisan penyeludupan, sebab paling utama yang menggerunkan setiap Perdana Menteri Malaysia untuk melaksanakan dasar ini adalah penerimaan rakyat terhadap harga petrol yang berbeza untuk setiap kelompok masyarakat.
Keazaman politik yang cuba ditunjukkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008 dengan melaksanakan penstrukturan subsidi petrol telah menjadi salah satu sebab kepada kehilangan majoriti 2/3 kerusi Dewan Rakyat milik Barisan Nasional semasa Pilihanraya Umum ke-12.
Sejarah tersebut menyebabkan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak mampu melaksanakan dasar penyasaran subsidi petrol walaupun ada membangkitkan isu tersebut beberapa sepanjang era kepimpinan beliau.
Pada hari ini YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengambil langkah yang berani walaupun sedar berhadapan dengan risiko yang tinggi untuk memperkenalkan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Dasar ini secara ringkasnya adalah program pemberian subsidi petrol secara bersasar kepada warganegara Malaysia yang memenuhi syarat, warganegara yang layak akan menikmati harga petrol RON95 bersubsidi serendah RM1.99 seliter.
Perlaksanaan dasar subsidi petrol bersasar untuk kali pertama di Malaysia ini mendapat penerimaan yang negatif oleh segelintir pihak, malah wujud desakan agar perlaksanaan dasar ini ditangguhkan atas alasan ekonomi dan harga tenaga dunia yang tidak stabil.
Namun desakan tersebut telah dijawab oleh PMX dengan menekankan kerajaan tidak mampu lagi menanggung subsidi petrol secara pukal yang tidak efisien, justeru perlaksanaan subsidi petrol bersasar akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan antara RM4 bilion hingga RM8 bilion setiap tahun.
Kerajaan MADANI telah menetapkan beberapa syarat bagi seseorang warganegara yang layak untuk mendapatkan subsidi petrol melalui program BUDI95 apabila melakukan tuntutan di stesen petrol seperti melakukan pengesahan menggunakan MyKad dan lesen memandu.
Syarat tersebut turut mendapat kritikan segelintir pihak kerana dianggap menyusahkan dan tinggi birokrasi, wujud kegusaran terhadap pengguna yang berhadapan dengan masalah kerosakan MyKad dan lesen memandu yang tamat tempoh sehingga menyebabkan pengguna tersebut terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal.
Prihatin terhadap kegusaran tersebut, Kerajaan MADANI telah mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melanjutkan tempoh permohonan dan rayuan kepada warganegara yang menghadapi masalah dokumen supaya mereka tidak terlepas daripada menerima subsidi BUDI95.
Ketegasan Kerajaan MADANI untuk memastikan penerima subsidi BUDI95 untuk mempunyai MyKad dan lesen memandu yang sah merupakan usaha jangka masa panjang untuk menyelaraskan data warganegara Malaysia pada semua peringkat dalam agensi kerajaan.
Langkah tersebut juga bertujuan memastikan warganegara yang benar-benar layak (mempunyai kenderaan) untuk menerima subsidi BUDI95, ia juga dapat mengawal penyalahgunaan BUDI95 untuk diperdagangkan secara haram.
Pelbagai kritikan lain boleh ditimbulkan bagi memperkecilkan usaha Kerajaan MADANI untuk melaksanakan dasar subsidi petrol bersasar untuk kali pertama di Malaysia, sudah pasti wujud kelemahan memandangkan perlaksanaan dasar ini masih baru dan mungkin sukar diterima oleh segelintir pihak.
Perkara paling utama yang perlu dipertimbangkan oleh rakyat Malaysia adalah kesan jangka masa panjang hasil perlaksanaan dasar tersebut yang bakal mengurangkan beban perbelanjaan negara.
Laporan oleh Kementerian Kewangan menunjukkan bahawa subsidi yang perlu diperuntukkan oleh kerajaan untuk petrol RON95 adalah sekitar RM20 bilion setiap tahun bagi mengekalkan harga komoditi tersebut pada paras RM2.05 seliter.
Jumlah tersebut akan terus meningkat setiap tahun sekiranya tiada langkah drastik dalam bentuk penstrukturan semula subsidi petrol untuk jangka masa panjang, jumlah hutang negara akan terus meningkat sekiranya Kerajaan MADANI tidak mengambil langkah berani untuk memperkenalkan program BUDI95.
Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong usaha berani Kerajaan MADANI untuk memperbetulkan pengurusan perbelanjaan negara dalam skala yang besar dan berjangka masa panjang, langkah ini walaupun sukar diterima oleh segelintir pihak namun ia memberi manfaat yang lebih besar kepada majoriti rakyat Malaysia.
Dr. Mohd Fauzi Fadzil
Pensyarah Kanan
Universiti Poly-Tech Malaysia




