KKM perluas lagi akses rawatan kanser melalui MOU Ke-3 bersama IHH Healthcare Malaysia

PUTRAJAYA: Memorandum Persefahaman (MoU) Ke-3 telah dimeterai oleh KKM bersama IHH Healthcare Malaysia dalam komitmen memperluas akses terhadap rawatan kanser kepada pesakit-pesakit yang dirujuk dari hospital KKM.
Seramai 500 pesakit akan menerima rawatan percuma di 8 hospital IHH mulai 7 Julai 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat sejak 2022 kepada 1,500 orang.
Ia melibatkan kes tumor otak, metastasis otak, kanser kepala-leher dan pelbagai jenis kanser lain (paru-paru, payudara, kolon, limfa).
Dari 2020-2024, lebih 165,000 kes kanser baharu direkod, majoritinya dikesan lewat – menjadikan rawatan lebih sukar, mahal dan kurang berkesan.
MoU ini memperkukuh kerjasama awam-swasta dalam usaha berterusan menangani kanser serta memperluas rawatan kepada pesakit di Malaysia, sejajar dengan nilai MADANI: Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta dan Ihsan – satu tanggungjawab kolektif demi rakyat.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dato’ Indera Dr.Nor Azimi Yunus; Pengerusi IHH Healthcare, Tan Sri Dr.Nik Norzul Thani N Hassan Thani; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, IHH Healthcare, Dr.Prem Kumar Nair dan Ketua Pegawai Eksekutif, IHH Healthcare, Jean-Francois Naa.