KKM perluaskan akses kepada rawatan dialisis

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Lukanisman Awang Sauni, telah menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif kesihatan berkaitan penyakit buah pinggang sempena Hari Buah Pinggang Sedunia di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur.
Majlis ini bertujuan untuk memperkukuh usaha dalam meningkatkan akses rawatan bagi pesakit buah pinggang, terutamanya dengan menyokong Dasar Keutamaan Dialisis Peritoneal (Dialisis di Rumah) yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Lukanisman berkata, dasar ini diwujudkan bagi memberikan pilihan rawatan yang lebih fleksibel dan mampan kepada pesakit, membolehkan mereka menjalani rawatan dialisis dalam persekitaran rumah yang lebih selesa dan selamat, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pusat dialisis konvensional serta meningkatkan kualiti hidup pesakit.
“Kerajaan melalui KKM telah memperkenalkan dasar untuk memperluaskan akses kepada rawatan dialisis yang lebih mampan dan menyesuaikan keperluan rawatan mengikut tahap keseriusan penyakit pesakit.
“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan beban ke atas sistem penjagaan kesihatan negara, tetapi juga memastikan pesakit menerima rawatan yang lebih selesa dan berkesan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Hadir sama, Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Pegawai Operasi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM, Dr.Nor Fadhlina Zakaria.