Kluster Influenza di Negeri Sembilan menurun dengan drastik

SEREMBAN: Kluster Influenza/Influenza-like-illness di Negeri Sembilan menunjukkan penurunan drastik berbanding minggu lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sebanyak satu kluster Influenza/Influenza-like-illness dilaporkan pada minggu ini, menurun daripada 14 kluster minggu lalu.
Satu kluster dikesan iaitu di Seremban melibatkan fasiliti pendidikan swasta.
Jumlah keseluruhan kes dalam kluster pula 27 kes berbanding 397 kes minggu lalu.
“Majoriti kes ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Pembersihan dan disinfeksi bilik darjah serta kawasan tumpuan pelajar telah dilaksanakan.
“Advokasi kesihatan kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai etika batuk dan pengasingan kes bergejala juga telah diadakan.
“Pemantauan gejala oleh guru serta bimbingan teknikal oleh PKD berkaitan kebenaran pulang, cuti kuarantin dan tatacara pengasingan pelajar bergejala,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata, penurunan ini disebabkan oleh sekolah dan institusi tutup sempena cuti panjang sambutan Deepavali, maka tiada percampuran rapat.



