Berita

KPDN Negeri Sembilan pantau bazar Ramadan

SEREMBAN: Peniaga makanan di bazar Ramadan di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak mengenakan harga terlalu mahal atau mengaut keuntungan berlebihan sehingga membebankan pengguna.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Faizah Othman berkata walaupun harga makanan di bazar Ramadan tidak dikawal secara langsung kerana tidak termasuk dalam kategori harga kawalan, pihaknya tetap komited memastikan pengguna memperoleh harga yang berpatutan.

Beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan di semua bazar Ramadan dan premis jualan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan serta perundangan yang ditetapkan, sekali gus mengelakkan berlakunya elemen pencatutan.

“Sekiranya terdapat aduan mengenai peniaga yang mengenakan harga terlalu mahal, notis akan dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat awal sebelum pemeriksaan dan analisis lanjut dijalankan.

“Penilaian juga akan dibuat terhadap kapasiti keuntungan yang diperoleh bagi menentukan sama ada berlaku pencatutan atau sebaliknya.

“Penentuan kes pencatutan dibuat berdasarkan formula khusus dan tindakan mengambil keuntungan tidak munasabah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Faizah berkata pihaknya telah melaksanakan Op Pantau bermula 19 Februari hingga semalam dengan 345 premis diperiksa.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 premis didapati melakukan kesalahan di bawah akta sama membabitkan kompaun keseluruhan berjumlah RM1,400.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak meletakkan tanda harga, menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum, memiliki barangan tanpa lesen serta menggunakan atau memiliki alat timbang atau sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button