Ladang ayam punca sungai tercemar ditutup sementara
PORT DICKSON: Ladang ayam di Chuah yang menyebabkan sungai di kawasan sekitar tercemar diarah ditutup sementara waktu.
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan berkata, hal ini kerana sungai yang tercemar adalah disebabkan najis ayam yang berasal daripada ladang tersebut.
“Bukti tersebut didapati setelah pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) menjalankan siasatan di sungai tersebut.
“Siasatan juga mendapati bahawa kilang yang sudah beroperasi lebih 20 tahun itu menternak lebih 30,000 ekor ayam.
“Laporan polis telah dibuat oleh BKSA berkaitan isu pencemaran air sungai yang boleh menjejaskan kesihatan penduduk sekitar.
“Saya juga dalam masa sama, turut melihat bahawa air yang berasal daripada reban ayam itu berwarna hitam mengalir terus ke dalam longkang dan disalurkan ke dalam parit dalam kawasan kebun kelapa sawit di situ.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya akan mengarahkan agar kilang ini ditutup sementara siasatan penuh dijalankan pihak berkaitan,” kata Veerapan.