Sekolah Agama Rakyat terima RM200 juta

PUTRAJAYA: Sekolah Agama Rakyat dan maahad tahfiz bakal menerima peruntukan segera sebanyak RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan yang berdepan masalah infratsruktur daif.
Peruntukan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Perutusan Khas Perdana Menteri 2026.
Ini kerana lebih 300,000 orang pelajar di sekolah agama rakyat terkesan dengan kemudahan yang uzur.
“Dana ini bagi membaik pulih ribuan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta institusi berkaitan yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
“Keputusan pentadbiran terdahulu yang membatalkan bantuan kepada sekolah-sekolah berkenaan memberi kesan besar terhadap kebajikan pelajar dan masa depan pendidikan mereka,” kata Anwar.
Oleh hal yang demikian, Anwar telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan rundingan berterusan dengan pihak sekolah terlibat bagi menambah baik aspek kurikulum, kokurikulum, kualiti pengajaran serta kebajikan guru.
Menurutnya, semua kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya dengan syarat margin harga dikawal serta penggunaan bekalan dan produk tempatan diberi keutamaan.



