Berita

Laporan Tinjauan Kajian Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 

Kajian semula Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (RSN 2040) ini disediakan selaras dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

la menjadi dokumen induk perancangan spatial negeri, yang menetapkan arah tuju pembangunan fizikal, ekonomi, sosial dan alam sekitar Negeri Sembilan hingga tahun 2040.

Dalam memuktamadkan Laporan Tinjauan ini, Kerajaan Negeri percaya setiap keperluan telah diteliti oleh perunding kajian bagi memastikan setiap sektor mengambilkira trend dan perkembangan terkini serta penemuan-penemuan strategik yang menjadi pemangkin kepada perkembangan pembangunan di Negeri Sembilan.

Majlis ini amat bermakna kerana ia menandakan permulaan kepada Program Publisiti dan Penyertaan Awam di mana satu proses penting yang memastikan pembangunan negeri kita terus dilaksana secara menyeluruh, seimbang dan turut mengambilkira pandangan rakyat.

Dalam usaha mencapai aspirasi Malaysia MADANI, publisiti yang meluas dan penyertaan aktif rakyat adalah kunci untuk memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan mampan.

Malaysia MADANI menekankan nilai-nilai keadilan, kesejahteraan, dan kelestarian, yang hanya dapat dicapai dengan mendengar dan memahami pandangan serta keperluan rakyat.

Kajian Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula) telah menggariskan lima teras perancangan utama untuk memastikan pembangunan yang seimbang, mampan, dan inklusif.

Setiap teras ini melibatkan aspek yang berbeza dalam pembangunan negeri, dengan penekanan pada ekonomi, sosial, alam sekitar, dan tadbir urus yang baik.

Pencapaian Ekonomi Negeri

Ekonomi Negeri Sembilan terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat daripada RM40 bilion pada tahun 2015 kepada lebih RM54 bilion pada tahun 2024.

Kadar pertumbuhan juga pulih dengan kukuh kepada 4.6 peratus pada tahun 2024, sekali gus menandakan daya tahan ekonomi negeri pasca pandemik.

Penemuan Sektor Perumahan

Jumlah stok perumahan di Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan berterusan dari 268,428 unit pada tahun 2018 kepada 311,209 unit pada tahun 2024.

Ini menunjukkan peningkatan purata sebanyak 7,130 unit setiap tahun, dengan jumlah keseluruhan peningkatan sebanyak 42,781 unit sejak 2018.

Daerah Seremban mencatatkan pertambahan bagi penyediaan stok perumahan terbesar iaitu sebanyak 32,225 unit bersamaan 75 peratus dalam tempoh enam tahun.

Penyediaan Rumah Mampu Milik

Sebanyak 2,105 unit rumah mampu milik telah ditawarkan di Negeri Sembilan pada tahun 2024, dengan Seremban menyumbang lebih separuh daripada jumlah tersebut, iaitu 1,161 unit.

Walau bagaimanapun, terdapat jurang dalam penawaran rumah mampu milik antara daerah, namun ini menunjukkan keperluan untuk memberi tumpuan dalam memastikan penawaran perumahan yang lebih inklusif di seluruh negeri.

Penemuan Sektor Pengangkutan

Sembilan cadangan laluan jalan baharu di seluruh negeri dengan tujuan meningkatkan ketersambungan antara daerah, mengurangkan masa perjalanan serta menyokong pembangunan pusat pertumbuhan utama.

Cadangan ini merangkumi laluan strategik yang akan menghubungkan kawasan perindustrian, pusat bandar, kawasan luar bandar dan zon pembangunan baharu.

Sebagai contoh, cadangan jalan baharu di West Coast Expressway: Banting ke Ayer Molek sepanjang 43.20 kilometer.

Terdapat juga lapan cadangan jalan tambahan yang memberi tumpuan kepada akses ke kawasan industri dan hab pertumbuhan seperti Malaysia Vision Valley 2.0, Techpark @ Enstek, Sendayan, serta kawasan pembangunan sekitar KLIA.

Laluan baharu ini akan meningkatkan keupayaan logistik dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Saya berharap semua input yang akan diterima dapat menambahbaik cadangan-cadangan di dalam Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula) yang akan dilaksanakan selepas ini.

Laporan ini nanti dapat mempermudahkan kerajaan menentukan hala tuju dasar negeri di dalam aspek ekonomi, fizikal dan sosial termasuk menarik minat pelabur ke Negeri Sembilan agar maju dan setanding dengan negeri berjiran.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat mengalu-alukan penyertaan serta sokongan semua pihak dalam menjayakan segala usaha dan perancangan yang sedang dilaksanakan ini.

Komitmen bersama ini amat penting demi hasrat dan matlamat pembangunan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 (Kajian Semula) yang memacu ekonomi bertaraf antarabangsa dan disokong kecerdasan buatan (AI), serta memfokuskan kepada peningkatan kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar ke arah tadbir urus pintar menjelang 2040.

J.Arul Kumar
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan

Show More

Related Articles

Back to top button