Lebih 1,000 penganut Hindu terima sumbangan deepavali daripada Veerapan

REPAH: Seramai lebih 1,000 penganut Hindu terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah di DUN Repah menerima pelbagai sumbangan sempena Sambutan Hari Deepavali 2025 yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, Veerapan Superamiam, pada Jumaat lalu.
Veerapan berkata, sumbangan tersebut diagihkan di Pusat Khidmat DUN Repah itu menyaksikan 200 keluarga menerima bakul makanan.
“Dalam masa sama, 300 helai sari diagihkan kepada kaum ibu, serta 500 penerima menerima sumbangan ayam segar hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) CP Chicken.
“Sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali.
“Pada sebelah malam, saya turut menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan anjuran Kuil Sri Sundra Vinayagar, Tampin, yang memberi bantuan kepada 30 keluarga, sekali gus melengkapkan usaha berterusan pemimpin itu menyantuni masyarakat setempat menjelang perayaan,” kata Veerapan.



