YB Kita

Liga Premier Negeri Sembilan Kembali Selepas 5 Tahun, Himpun 20 Pasukan Seluruh Negeri

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Liga Premier Negeri Sembilan (LPNS) kembali dianjurkan selepas lima tahun, dengan penyertaan sebanyak 20 pasukan melibatkan kira-kira 600 pemain dari seluruh negeri.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor berkata, penganjuran semula liga itu diharap menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dalam arena bola sepak tempatan.

“Liga ini melibatkan 20 pasukan dari pelbagai kawasan seperti Mantin, Rembau dan Gombak, dengan penyertaan kira-kira 600 pemain secara keseluruhan.

“Kategori yang dipertandingkan adalah terbuka dan kita berharap ia menjadi satu medan untuk mencari serta mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam bola sepak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan aksi pembukaan LPNS antara Teck Hin-KR FC dan NS Forces Warriors FC di PBNS BubblesO2 Arena, di sini, semalam.

Menurutnya, liga berkenaan turut berperanan sebagai platform kepada pemain untuk mempamerkan kebolehan masing-masing, selain menggalakkan penyertaan aktif dalam sukan bola sepak.

“Ini juga adalah satu usaha untuk menyediakan lebih banyak platform kepada pemain-pemain bola sepak, khususnya mereka yang berminat untuk terus aktif dalam sukan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, perlawanan akan berlangsung setiap Ahad, Isnin dan Selasa dengan tiga perlawanan dijadualkan setiap hari.

Liga itu dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A dan Kumpulan B, masing-masing melibatkan 10 pasukan. Johan dan naib johan setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir sebelum ke pentas final dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran liga tersebut, hasil usaha PBNS dengan kerjasama rakan strategik termasuk Bubbles O2, dapat memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak negeri.

“Diharapkan usaha ini dapat menjadi platform terbaik bukan sahaja untuk anak negeri, malah juga pemain dari luar Negeri Sembilan untuk sama-sama mempamerkan bakat mereka,” katanya.

Terdahulu, beliau turut merasmikan pembukaan Liga Premier Negeri Sembilan yang berlangsung bermula semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat PBNS, Jamsari Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus serta Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Datuk Arifin Marzuki.

Show More

Related Articles

Back to top button