MAINS bantu naik taraf surau, perkasa Pusat Tahfiz di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu

JELEBU: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menyalurkan RM74,511.47 bagi menaik taraf infrastruktur Surau An-Nur di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu sebagai usaha memperkukuh pembangunan rohani dan sahsiah dalam kalangan penghuni.
Pengerusinya, Dato’ Seri Dr. Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Wakaf Negeri Sembilan Muamalat yang merangkumi RM43,511.47 bagi pembinaan ruang Kelas Tahfiz serta RM31,000 untuk menaik taraf karpet surau agar lebih selesa digunakan untuk aktiviti ibadah dan pembelajaran.
“MAINS amat menitikberatkan kerjasama dengan pihak penjara khususnya dalam aspek pemulihan rohani.
“Kami menyambut baik penubuhan Pusat Tahfiz Ibnu Tufail di Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, dengan harapan ia menjadi medan transformasi untuk mereka kembali kepada fitrah dan membina kehidupan baharu berteraskan nilai Islam,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jelajah Mahabbah Madani IKIMfm dan Agensi Agama Islam Negeri Sembilan 2025, yang berlangsung di Penjara Jelebu.
Selain itu, dana zakat turut disalurkan melalui wakalah Etika Takaful berjumlah RM60,000, merangkumi RM50,000 bagi Bantuan Kebajikan Islam Kelas Tahfiz dan RM10,000 untuk bantuan surau.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Eksekutif Kanan Zakat dan Amal Jariah MAINS, Abd Rahim Abd Aziz kepada Pengarah Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Mohamad Kolek Mohamad Nor.
Menurut Abdul Aziz, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha MAINS membina sistem sokongan yang holistik, bukan sahaja ketika penghuni berada di dalam institusi tetapi juga selepas mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan semangat Madani dalam membina masyarakat berdaya tahan, berakhlak mulia dan saling menyokong.
“Dengan al-Quran sebagai panduan hidup, ia mampu menjadi benteng pertahanan diri dan penawar hati,” katanya.
Beliau menzahirkan harapan agar usaha ini dapat melahirkan insan yang bukan sahaja bebas daripada belenggu dadah dan kesilapan lalu, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada keluarga, masyarakat serta agama.