SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menaja program Mantap Math STEM, yang berjaya melibatkan seramai 1,000 pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh Negeri Sembilan dari Ogos hingga November 2024.
Program ini merupakan inisiatif bersama dengan Unit Sains dan Matematik (USM), Sektor Pendidikan Islam (SPI) Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sebagai penyelaras, dan Kaizen Improvement Solution sebagai koordinator.
Ia bertujuan meningkatkan penguasaan asas Algebra Matematik pelajar sekaligus menarik minat mereka terhadap bidang STEM.
“Program ini direka khusus untuk pelajar SABK yang menghadapi kesukaran dalam Matematik.
“Melalui modul Mantap Asas Algebra, pelajar didedahkan kepada latihan intensif selama enam jam yang berfokus kepada konsep asas Matematik,” kata Shahrul Badriyah dari USM JPNS.
Penilaian menunjukkan kejayaan memberangsangkan apabila 50 peratus pelajar mencatat peningkatan dalam keputusan mereka berdasarkan pre-test dan post-test.
“Ini membuktikan keberkesanan pendekatan berstruktur yang kami laksanakan,” tambah Dr.Muhammad Harith dari Kaizen Improvement Solution.
Program ini mendapat sokongan penuh pelbagai pihak, termasuk Pengurus Pusat Zakat MAINS, Mahadi Ali; Ustaz Jamaludin dan Ustaz Affendy (SPI JPNS), serta tenaga pengajar berpengalaman seperti Cikgu Hanif Ibrahim.
Dengan impak positif ini, MAINS berharap program seumpama ini dapat diteruskan dan dikembangkan ke lebih banyak sekolah sebagai persediaan pelajar untuk bersaing dalam bidang STEM di masa hadapan.