BeritaMenarik

Majlis Daerah Kuala Pilah sasar jadi majlis perbandaran tahun 2035

KUALA PILAH: Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) mensasarkan untuk menjadi sebuah majlis perbandaran pada tahun 2035.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, YB J.Arul Kumar berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, MDKP haruslah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Kuala Pilah.

Arul Kumar berkata demikian di Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Kuala Pilah sesi Disember 2023 hingga November 2026 dan Perasmian Kaunter Majlis Daerah Kuala Pilah dan Majlis Penyampaian Sijil Bandar Mampan 2023 serta Sijil Bersih Penyata Kewangan 2022.

“Saya berharap Ahli Majlis yang baru dilantik ini dapat bersama-sama dengan pasukan pengurusan MDKP untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

“Saya ingin menegaskan bahawa perlantikan sebagai ahli Majlis bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu tanggungjawab yang amat besar dan pada masa yang sama menyedarkan masyarakat tempatan agar mereka memenuhi kewajipan mereka serta memberi sokongan kepada PBT dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya,” kata Arul Kumar.

Menurut Arul Kumar, seramai 23 orang yang telah dilantik untuk meneruskan perjuangan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada seluruh penduduk di Kuala Pilah yang terdiri daripada 18 orang ahli majlis lantikan baru dan lima orang ahli majlis lantikan semula.

“Ahli Majlis mempunyai peranan yang besar untuk menjadikan Kuala Pilah lebih bersih, lebih selamat dan sihat.

“Perlantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting.

“Ia bukan sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun saudara-mara.

“Ahli-ahli majlis mesti peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertanggungjawab untuk menyumbangkan idea dan kepakaran kepada Majlis dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan,” ujar beliau lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button