Berita

Malaysia kecam serangan udara Israel ke atas Doha

Alhamdulillah dapat membawa suara Malaysia dalam Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam, di Doha, Qatar.

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Doha.

Ia bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa, serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau.

Qatar, di bawah kepimpinan Sheikh Tamim Hamad Al Thani, telah memainkan peranan besar sebagai perantara perdamaian.

Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut, dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan.

Dalam masa sama, Gaza terus ditenggelami darah dan runtuhan.

Kediaman dimusnahkan, hospital dibedil, anak-anak tidak berdosa menjadi mangsa korban.

Israel kini tidak lagi menyembunyikan niatnya, menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan satu bentuk apartheid kekal, serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri.

Kecaman semata-mata tidak lagi memadai. Kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu.

Dunia mesti bertindak dengan langkah yang nyata dan berani termasuk menamatkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis Israel sehingga kekejaman dihentikan dan hak Palestin dipulihkan.

Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin, dan setiap bangsa yang dambakan keadilan serta keamanan.

Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak.

Semoga Allah SWT mengurniakan keberanian untuk kita melawan kezaliman, serta kekuatan untuk mempertahankan kebenaran dan maruah umat.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Perdana Menteri Malaysia

Show More

Related Articles

Back to top button