RIO DE JANEIRO: Malaysia menyatakan komitmen untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam memerangi kebuluran dan kemiskinan, serta memastikan tiada rakyat yang tercicir, sewaktu Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyampaikan pendirian Malaysia pada sesi pertama Fight Against Hunger and Poverty di Sidang Kemuncak G20.
“Menceritakan usaha kerajaan, saya jelaskan bahawa Malaysia telah membuat kemajuan yang signifikan melalui Kerangka Ekonomi MADANI, bagi memperbaiki kesejahteraan hidup rakyat.
“Tumpuan juga merangkumi pengukuhan struktur tadbir urus, memastikan kemampanan fiskal, meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, memajukan transformasi digital, dan komitmen terhadap tindakan iklim.
“Malaysia bersedia selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk bekerjasama dalam usaha membina kapasiti, dengan fokus meningkatkan daya tahan, mengurangkan kemiskinan, dan memperbaiki tadbir urus di seluruh rantau ini.
“Dalam sesi kedua terkait “Reform of the Institutions of Global Governance” pula saya singgung bahawa kuasa veto Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diberikan kepada lima negara anggota tetap Majlis Keselamatan (UNSC) atau negara P5, seharusnya lebih inklusif,” kata Anwar.
Anwar berkata, ketetapan semasa ketika ini adalah sangat tidak adil di mana UNSC tidak punyai wakil dari Amerika Latin dan Afrika, lantas ia dilihat seperti meminggirkan perwakilan dari benua berkenaan.
Turut dibangkitkan adalah soal ketidakadilan struktur dalam institusi antarabangsa yang secara tidak langsung meminggirkan negara-negara Global South.
“Saya juga mengkritik sistem kewangan antarabangsa yang terus mengamalkan polisi tidak adil dan lebih menguntungkan negara-negara Global North berbanding negara membangun.
“Mengakhiri kenyataan, saya menyeru G20 untuk memainkan peranan penting dalam memacu perubahan, sambil menekankan keperluan mendesak untuk mewujudkan sistem global yang lebih inklusif dan responsif,” katanya.