Masjid Jamek Dato’ Bandar Haji Ahmad Rasah simpan lebih dua abad sejarah komuniti Rasah

SEREMBAN: Masjid Jamek Dato’ Bandar Haji Ahmad Rasah atau lebih dikenali sebagai Masjid Rasah terus utuh menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat sejak lebih 220 tahun lalu, sekali gus mencerminkan kekuatan institusi masjid dalam membangunkan komuniti.
Terletak di Jalan Rasah, masjid berkenaan dipercayai diasaskan sekitar tahun 1800 oleh tokoh tempatan, Ahmad Ali yang memegang gelaran Dato’ Shahbandar Sungai Ujong.
Tapak masjid itu merupakan tanah wakaf milik beliau sendiri yang diabadikan khusus untuk kegunaan umat Islam di kawasan berkenaan.
Berdasarkan catatan sejarah, struktur asal masjid dibina secara sederhana menggunakan bata dan genting dengan kapasiti sekitar 50 hingga 60 jemaah pada satu-satu masa.
Walaupun bersaiz kecil, ia berperanan penting sebagai pusat ibadat, tempat penyatuan penduduk kampung serta medan penyebaran ilmu agama di sekitar Rasah.
Seiring pertambahan penduduk dan perkembangan bandar Seremban, masjid tersebut melalui beberapa fasa pembesaran dan penambahbaikan bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat.
Kini, bangunannya lebih luas dan dilengkapi kemudahan selesa untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti keagamaan serta program kemasyarakatan.
Pengasasnya dilaporkan meninggal dunia pada tahun 1927 bersamaan 1348 Hijrah dan dikebumikan berhampiran kawasan masjid, meninggalkan legasi wakaf yang terus dimanfaatkan generasi seterusnya.
Menurut jawatankuasa masjid, institusi itu bukan sahaja menjadi tempat menunaikan solat, malah berfungsi sebagai pusat penganjuran kuliah agama, majlis ilmu dan aktiviti komuniti yang mengeratkan hubungan silaturahim penduduk setempat.
Kewujudannya membuktikan masjid kekal sebagai tunjang pembangunan rohani dan sosial masyarakat dari dahulu hingga kini.



