Berita

Masri dilantik Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban yang baharu

SEREMBAN: Majlis Mesyuarat (EXCO) Kerajaan Negeri Sembilan telah bersetuju melantik Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang baharu bermula 8 Ogos 2025 setelah semua proses pelantikan mendapat persetujuan daripada Jabatan dan Agensi Persekutuan berkaitan.

Masri merupakan anak jati Rembau, Negeri Sembilan dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam sektor kejuruteraan awam serta pengurusan strategik di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, jawatan terakhir Masri ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat dan Strategik di JKR Malaysia dan pernah menyandang jawatan Pengarah JKR Negeri Sembilan (2019–2020).

“Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Malaysia.

“Sepanjang kerjayanya, beliau terlibat dalam pelaksanaan sistem pengurusan aduan kuarters (SAKU), pembangunan sistem ROMAPS untuk penyenggaraan jalan negeri serta penyelarasan projek penting seperti pemasangan Jambatan Bailey Kuala Pilah–Tampin.

“Beliau memimpin beberapa jawatankuasa teknikal kebangsaan termasuk Jawatankuasa Pindaan Arahan Teknik Jalan, Standard Specification for Building Works dan menjadi Profesor Adjung di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Dato’ Ir. Ts. Masri telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (2002, 2004, 2010) dan dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) pada tahun 2021,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri meletakkan keyakinan penuh bahawa Masri akan membawa kepimpinan yang segar berteraskan kejuruteraan strategik, teknologi pintar dan tadbir urus cekap demi memperkasa perkhidmatan Bandaraya Seremban ke arah sebuah bandar yang pintar, mampan dan inklusif.

“Kerajaan Negeri juga ingin merakam penghargaan kepada Dato’ Masri Razali iaitu mantan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban yang dilantik sejak 23 Julai 2021.

“Terima kasih dengan kepimpinan beliau, pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik serta pencapaian cemerlang telah dicapai MBS dalam memperkukuh peranannya sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang progresif, mampan dan responsif,” ujar Aminuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button