Masyarakat Tionghua dapat Ang Pow daripada Noorzunita

PILAH: Masyarakat Tionghua dari sekitar DUN Pilah menerima sumbangan Ang Pow daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim sempena sambutan Tahun Baru Cina.
“Di DUN Pilah, kita amat bertuah kerana memiliki sebuah komuniti yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.
“Perayaan seperti ini bukan sekadar satu acara tetapi simbol kesatuan dan kerjasama erat antara semua kaum.
“Kita dapat berkongsi kegembiraan, memahami antara satu sama lain, dan terus mengukuhkan semangat perpaduan yang menjadi asas kekuatan kita,” kata Noorzunita.
Noorzunita menambah, perayaan ini membawa makna yang mendalam bukan sahaja kepada masyarakat Tionghoa, tetapi kepada semua kaum yang hidup dalam suasana muhibah dan harmoni di negeri yang dicintai ini.
“Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.
“Persembahan seni dan kebudayaan, juadah tradisional, dan hiasan yang indah ini mencerminkan keunikan warisan budaya yang harus kita banggakan,” ujar Noorzunita.
Noorzunita berkata demikian di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2025 peringkat DUN Pilah yang berlangsung di Dewan Dato’ Bahaman Kuala Pilah.