Menteri Hal Ehwal Agama Rasmi Jaulah Dakwah Al-Falah di Negeri Sembilan

Seremban : Majlis Perasmian Program Jaulah Dakwah Al-Falah Siri Ke-3 di Negeri Sembilan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar petang tadi.
YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan dalam kenyataannya memaklumkan bahawa beliau diwakili oleh Setiausaha Politik kepada YAB Menteri Besar, YBrs. Tuan Nor Azman Mohamad bagi menghadiri majlis berkenaan.
Menurut beliau, Program Jaulah Dakwah Al-Falah merupakan wadah penting dalam memperkukuh usaha dakwah bagi memperluas kefahaman agama serta memperkasa komuniti Islam melalui pendekatan yang berhemah dan menyeluruh. Program seperti ini juga menjadi medium penting dalam memperkukuh hubungan antara institusi agama, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.
YAB Dato’ Seri Aminuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar atas kesudian hadir dan merasmikan program tersebut. Beliau menyatakan bahawa komitmen berterusan YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im dalam memperkukuh agenda dakwah serta pembangunan ummah di seluruh negara amatlah dihargai.
“Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa menyokong inisiatif dakwah yang membawa mesej kasih sayang, perpaduan dan kesejahteraan. Usaha sebegini amat penting dalam membentuk masyarakat Islam yang berilmu, berakhlak dan saling menghormati,” ujar beliau.
YAB Menteri Besar turut menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperkukuh sinergi dengan agensi-agensi agama serta institusi dakwah bagi memastikan nilai keimanan, kasih sayang dan perpaduan terus subur dalam kalangan rakyat.
Beliau berharap agar pelaksanaan program seperti Jaulah Dakwah Al-Falah akan terus menjadi platform memperkukuh perpaduan ummah serta menyemai nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian rakyat, selaras dengan aspirasi membentuk Negeri Sembilan yang sejahtera, harmoni dan diberkati.



