SEREMBAN: Sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, persatuan sukan negeri yang bermasalah akan dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negeri, Negeri Sembilan.
Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor berkata, adalah menjadi satu kerugian besar sekiranya Negeri Sembilan mempunyai atlet yang berbakat atau berpotensi tetapi persatuan yang menguruskannya tidak cekap atau tidak efektif menyebabkan bakat atau talent yang ada pada atlet akan hilang begitu sahaja.
“Keadaan ini mengakibatkan atlet akan berhijrah atau diambil oleh kontinjen negeri lain.
“Untuk itu, saya akan pastikan keadaan seumpama ini tidak akan berlaku lagi.
“Memang tidak boleh dinafikan persatuan sukan negeri perlu memainkan peranan dan menyahut bersama program kecemerlangan sukan di setiap negeri,” kata Mustapha.
Mustapha menambah, pada temasya SUKMA kali ini di Sarawak; ada sukan utama atau popular tidak disertai oleh Kontingen Negeri Sembilan.
“Kelayakan menyertai temasya SUKMA kali ini diukur berdasarkan beberapa elemen dan penilaian prestasi semasa pasukan dan atlet yang ada.
“Saya minta kepada pegawai dan pentadbir sukan agar berilah tumpuan kepada program pembangunan yang telah dirancang dan saya berharap supaya kepentingan peribadi diketepikan demi kebaikan kita bersama.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa di dalam merangka, merancang dan melaksana program-program sukan berlaku perbezaan dan perselisihan pendapat, tetapi biarlah perselisihan itu dijadikan sebagai asas untuk menambahkan lagi pengalaman dan pengetahuan kita dalam aspek-aspek sukan yang diceburi.
“Kejujuran dan keikhlasan amat memainkan peranan penting didalam menentukan kejuaraan milik kita bersama,’ ujarnya.
Mustapha berkata demikian di Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 Tahun 2024 Sarawak yang diadakan di Klana Resort, Seremban.
Majlis ini disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.