BeritaMenarik

myBRP@CKAPS pendekkan masa proses permohonan fasiliti kesihatan swasta

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr.Dzulkefly Ahmad telah melancarkan sistem aplikasi atas talian ‘myBRP@CKAPS’, yang merupakan satu lagi lembaran baharu dalam usaha mentransformasi perkhidmatan kesihatan negara.

Dzulkefly berkata, ia adalah bukti komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menyokong agenda transformasi digital yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri.

“Sistem ini akan memudahkan urusan permohonan melibatkan fasiliti kesihatan swasta di bawah Akta 586.

“Bermula dengan modul pembaharuan lesen, kita sasarkan untuk melibatkan 120 buah fasiliti swasta pada fasa awal ini.

“Insya Allah, sistem ini akan dapat meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan proses permohonan serta pengeluaran lesen.

“Sebelum ini, proses permohonan mengambil masa sehingga lapan bulan, kini dipendekkan kepada dua ke tiga bulan sahaja,” jelas beliau.

Menurut Dzulkefly, KKM sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk persatuan-persatuan yang mewakili fasiliti kesihatan swasta, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan sistem ini.

“Saya yakin dengan usaha berterusan dan sokongan padu daripada semua pihak, myBRP@CKAPS yang lengkap nanti akan menjadi platform yang komprehensif dan mesra pengguna menjelang tahun 2027,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button