Negeri Roadstone catat sejarah peroleh pendapatan RM103.21 juta
SEREMBAN: Negeri Roadstone Sdn Bhd (NRSB) mencipta sejarah sendiri apabila berjaya memperoleh pendapatan sebanyak RM103.21 juta pada tahun lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, kutipan tersebut meningkat sebanyak 28 peratus berbanding 2020 yang mencatatkan sebanyak RM81 juta.
“Daripada jumlah tersebut, NRSB catat keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM13.68 juta pada tahun lalu.
“Ia sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan nilai keuntungan bersih sebelum cukai berjumlah RM9.31 juta.
“NRSB juga telah menyerahkan dividen berjumlah RM2.8 juta kepada PKNNS bagi tahun lalu berbanding RM1.5 juta pada tahun sebelumnya.
“Peningkatan penerimaan dividen ini juga merupakan hasil daripada penstrukturan semula ekuiti oleh Kerajaan Negeri yang meningkatkan pegangan ekuiti PKNNS daripada 51 peratus kepada 80 peratus.
“Besarlah harapan saya agar NRSB terus menunjukkan prestasi cemerlang dan meningkatkan pendapatan yang seterusnya dapat dikembalikan semula kepada rakyat Negeri Sembilan, Insya Allah,” kata Aminuddin.