SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik dasar ekonomi terbuka dan penggalakan pelaburan asing oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Sikamat – PH), melalui kemasukkan pelaburan asing ke negeri ini ianya dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
Kerajaan Negeri mensasarkan agar setiap pelaburan baharu khususnya dalam sektor perkilangan hendaklah projek – projek yang berteknologi tinggi, menjalankan aktiviti automasi dan robotik serta menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menerusi hasrat ini, Kerajaan Negeri berharap dapat membantu meningkatkan pendapatan isi rumah di negeri ini.
“Antara inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri bagi menggalakkan pelaburan baharu ke Negeri Sembilan dengan menggalakkan pemajuan dan pembukaan kawasan industri baru di negeri ini bagi tujuan penyediaan kawasan industri yang strategik serta dilengkapi infrastruktur yang menepati keperluan industri.
“Banyak kawasan industri baru telah berjaya dirancang dan diselaraskan pembangunannya seperti di SPD Techvalley, Techpark 3 @Enstek, Hamilton Industrial Park (di Parcel A, MVV) dan Springhill Industrial Park di Fasa 3.
“Manakala yang masih di dalam fasa perancangan adalah di Eka Smart Industrial Park, di Mukim Labu, NS Semiconductor Valley, Labu Smart Park, Sikamat Industrial Park, MVV Central (Parcel B) dan lain-lain lagi,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata, inisiatif ini adalah amat penting untuk mengatasi kekurangan tanah industri di negeri ini serta memenuhi permintaan para pelabur.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan galakan insentif pelaburan seperti penetapan diskaun kadar bayaran premium iaitu sebanyak 15% untuk tempoh 30 hari dari tarikh menerima Notis 5A atau 7G daripada Pentadbir Tanah Daerah berkuatkuasa 1 Januari 2024,” jelas Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan ADUN Rantau, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan (BN) dan ADUN Lukut, Choo Ken Hwa (PH) di Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 pada Isnin.