Berita

Negeri Sembilan ke arah proses pensijilan halal dalam 30 hari

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengambil usaha untuk menyegerakan dan memendekkan tempoh proses pensijilan halal kepada 30 hari bekerja.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Pensijilan Halal bukan sekadar label tetapi merupakan manifestasi tanggungjawab agama dan profesionalisme yang mencakupi keseluruhan aspek pengurusan produk dan perkhidmatan.

Kerajaan Negeri Sembilan komited serta konsisten dalam memperkasa agenda halal Malaysia menerusi beberapa inisiatif utama:

i. Menyegerakan dan memendekkan tempoh proses pensijilan halal kepada 30 hari bekerja

ii. Penyediaan kawasan perindustrian Halal di Bandar Enstek

iii. Insentif khas kepada usahawan mikro untuk mendapatkan pensijilan halal

‘Sejak tahun 2022 hingga kini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM1.58 juta kepada 324 usahawan mikro.

“Hasilnya, seramai 292 usahawan berjaya memperoleh sijil pengesahan Halal Malaysia selepas melalui siri latihan, konsultasi dan bimbingan khusus.

“Inisiatif ini tidak hanya memperkukuh ekosistem halal negeri, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan tempatan, khususnya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan memperluas agenda ini demi kemaslahatan umat dan kemajuan ekonomi negeri secara menyeluruh,” jelas Aminuddin.

Aminuddin berkata demikian semasa Majlis Penyempurnaan Makan Malam Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Pensijilan Halal Malaysia Bil. 2/2025 yang berlangsung di Grand Lexis, Port Dickson.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button