SEREMBAN: EXCO (Kanan) Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, adalah menjadi hasrat beliau untuk Negeri Sembilan memiliki sebuah kilang memproses buah durian pada skala besar untuk tujuan pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Kesinambungan daripada itu, saya bersama beberapa Ahli Parlimen dan ADUN Negeri Sembilan telah ke Raub, Pahang bagi meneliti pengurusan dan pengoperasian kilang memproses durian yang antara terbaik di negara ini.
“Selepas meluangkan masa lebih dua jam, saya optimis untuk mencadangkan kewujudan hub pengeluaran durian di Negeri Sembilan dalam tempoh masa terdekat.
“Hub pengeluaran durian ini haruslah memberi manfaat kepada orang kampung dalam soal harga buah durian yang bakal dikomersialkan,” kata Jalaluddin.
Jalaluddin berkata, beliau menjangkakan dengan tertubuhnya hub pengeluaran durian Negeri Sembilan ini, ia bakal menyediakan peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat, di samping mampu mengupayakan industri hiliran dalam pasaran ekonomi kita.
“Yang pastinya kita juga akan meneliti dari segi kualiti buah mengikut veraiti seperti Musang King, IOI, D24, Tupai King, Theka dan sebagainya.
“Insya Allah sedikit masa lagi nama Negeri Sembilan akan mekar di persada antarabangsa dek kerana produk buah duriannya,” ujar Jalaluddin yang juga EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi Negeri Sembilan.