Berita

Negeri Sembilan memelihara kebajikan pekerja dan pastikan majikan mematuhi peraturan pekerjaan

SEREMBAN: Sebuah operasi penguatkuasaan bersepadu yang dikenali sebagai “OPS PLASTIK” telah dijalankan pada 7 Julai 2025 di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bandar Seremban Selatan.

Operasi ini diadakan selama tiga jam dan diketuai oleh Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, Veerapan Superamaniam dengan penglibatan sembilan agensi di bawah portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kekuatan 45 anggota.

Hasil operasi ini mendapati beberapa pelanggaraan dan ia dikuatkuasakan oleh agensi yang berkaitan.

Antaranya ialah, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS) tidak meneruskan tindakan kerana semua pekerja asing memiliki permit bukan di bawah majikan terbabit dan pendakwaan tidak boleh dibuat di bawah Seksyen 24D Akta 446, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati dua unit loji jenis Air Compressor tidak didaftarkan serta dua Notis Larangan Penggunaan (JKKP 11) telah dikeluarkan dan mengarahkan syarikat hadir ke pejabat JKKP untuk khidmat nasihat dan proses pendaftaran peralatan.

“Selain itu, siasatan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati 22 pekerja asing memiliki permit sah tetapi bukan di bawah syarikat tersebut dan kesemua ditahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 & Peraturan 39(b) serta dihantar ke Depoh Lenggeng.

“Tambahan lagi, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) mendapati pembiakan nyamuk di premis dan kompaun dikeluarkan mengikut Seksyen 6 Akta Kawalan Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

“Pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turut sama mendapati caruman hanya dibayar kepada dua pengarah syarikat dan terdapat tunggakan caruman Akta 4 dan Akta 800 (sejak 1/2025) serta arahan pematuhan dikeluarkan dan syarikat diarahkan hadir pada 18 Julai 2025 bersama senarai pekerja dan rekod gaji (2018–2025).

“Saya ingin menyatakan bahawa operasi ini mencerminkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Negeri dalam memelihara kebajikan pekerja serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang pekerjaan, imigresen, keselamatan dan kesihatan industri, serta kesejahteraan alam sekitar.

“Pelaksanaan OPS PLASTIK ini merupakan satu model tindakan bersepadu yang akan diteruskan di lokasi-lokasi lain di Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan keusahawanan bertanggungjawab dan mampan,” kata Veerapan.

Show More

Related Articles

Back to top button