Negeri Sembilan satu-satunya negeri sedia peruntukan khas perkasa TVET

SEREMBAN: Menyedari kepentingan TVET dalam agenda pembangunan negeri, Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pelaksanaan Karnival TVET Negeri Sembilan 2025 dalam Belanjawan Negeri 2025.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ini lah satu-satunya Kerajaan Negeri yang menyediakan peruntukan khas dalam Belanjawan Negeri bagi memastikan objektif memperkasa TVET dilaksanakan di Negeri Sembilan.
Inisiatif ini bertujuan memperhebat program promosi dan kesedaran TVET di seluruh negeri untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dan belia menceburi bidang kemahiran.
Usaha ini juga merupakan langkah kerajaan negeri dalam memastikan bekalan tenaga kerja mahir yang mencukupi dan berkualiti bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan selaras dengan tema penganjurannya tahun ini iaitu ‘TVET NS Peneraju Aspirasi Masa Depan’.
“Bidang TVET dahulunya disalah anggap sebagai pilihan kedua.
“Namun, realitinya pelajar TVET kini terbukti setanding dan bahkan mendahului dalam aspek kemahiran, inovasi dan keusahawanan.
“Sebagai contoh, Muhammad Luqman Arif bin Hissham seorang pelajar Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan di Kolej Komuniti Jelebu, anak jati Kampung Teriang, Jelebu, telah mencipta produk inovasi hijau bertemakan ‘Kayu, Cerita dan Jiwa’ melalui projek Seni Kayu yang memanfaatkan sisa kayu terbuang menjadi produk bernilai komersial.
“Usaha beliau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam, malah pada usia yang muda telah menubuhkan perniagaan berdaftar serta menjana pendapatan sendiri.
“Beliau juga berjaya meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Pingat Emas dan Anugerah Khas POLYCC Innopreneur 3.0 2025, Gold Award National Virtual Innovation Creative Competition (NVICC’25), serta Pingat Perak Projek Alam Bina 2025.
“Dalam masa yang sama, beliau mengekalkan kecemerlangan akademik dengan CGPA 3.94, di samping aktif dalam program komuniti dan inovasi hijau,” kata Aminuddin.

Aminuddin berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar TVET bukan pelajar biasa, sebaliknya merupakan generasi berkemahiran tinggi, berdaya cipta dan berpotensi besar memacu pembangunan negeri dan negara.
“Di bawah seliaan JPK, kini terdapat lebih 80 Pusat Bertauliah yang beroperasi di seluruh Negeri Sembilan, menawarkan pelbagai bidang kemahiran seperti kejuruteraan, automotif, pembinaan, hospitaliti, kulinari dan teknologi maklumat.
“Pusat-pusat ini memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang diiktiraf melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dan memenuhi permintaan sebenar industri.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan pelbagai institusi TVET di Negeri Sembilan yang terus mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Antaranya Politeknik Port Dickson telah diiktiraf institusi TVET terbaik di Asia Pasifik menerusi pengiktirafan Platinum oleh Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) pada tahun 2024.
“Ini menunjukkan bahawa usaha gigih dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan teknikal di negeri ini membuahkan hasil yang membanggakan, sekaligus memperkukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai peneraju dalam bidang TVET di peringkat serantau,” ujar Aminuddin lagi.
Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Penutup Karnival Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2025.



