![](https://negerikita.org/wp-content/uploads/2025/02/NS-umum-tabung-.jpg)
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan akan melancarkan Tabung Wakaf Negeri Sembilan untuk membantu warga Palestin menjelang bulan Ramadhan nanti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, tabung ini akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
“Satu tabung khas akan dilancarkan untuk pembangunan semula Gaza yang akan kita buat secara wakaf dan sedekah.
“Kita ada komitmen untuk menyediakan perumahan kepada warga Palestin di Gaza.
“Insya Allah pada bulan Ramadhan ini, tabung ini akan dibuka kepada orang ramai.
“Kita buka ruang kepada semua rakyat Negeri Sembilan yang ingin menyumbang kepada wakaf ini,” kata Aminuddin semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.
Aminuddin berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan kutipan RM4 juta untuk tabung ini.