YB Kita

Pak Mus sempurnakan penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2026 di Palong

PALONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Dato’ Mustapha Nagoor, telah hadir ke Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 7 dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Palong 8 sempena Program Pemimpin dan Komuniti Bersama Murid ‘First Day At School’.

Program yang diadakan di Dewan Lestari, SK Felda Palong 7 dan Dewan SK Palong 8 (F) itu berlangsung dalam suasana meriah dan penuh keceriaan, khususnya apabila menyaksikan semangat serta keterujaan murid-murid memulakan sesi persekolahan baharu bagi tahun 2026.

Dalam program tersebut, Mustapha turut menyempurnakan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 kepada murid-murid yang layak, selain menyampaikan suntikan motivasi bagi menyemai keyakinan, disiplin dan semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Saya berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban ibu bapa serta menjadi pembakar semangat kepada murid-murid untuk memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan positif.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak sekolah, barisan guru, jawatankuasa penganjur serta ibu bapa atas kerjasama dan komitmen erat dalam memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan anak-anak sentiasa terpelihara,’ kata Mustapha.

Program berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari dengan kehadiran murid-murid yang kekal hingga selesai program, sekali gus mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button