Berita

Paras Air Mungkin Surut Esok Berikutan Pengurangan Intensiti Hujan: JPS

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan (JPS), Ir. Ts. Abd Hakim Bin Hamzah ketika ditemui di Negeri Sembilan Command Centre (NesSCOM) menjelaskan bahawa hujan berpanjangan yang berlaku di beberapa kawasan di negeri ini merupakan kesan tidak langsung daripada taufan yang melanda Indonesia. Fenomena itu membawa angin yang menyebabkan Malaysia menerima jumlah hujan lebih tinggi namun intensitinya masih terkawal.

“Kawasan rendah sememangnya dijangka terjejas dan JPS telah lebih awal mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya banjir yang kini mula kelihatan apabila paras air meningkat di beberapa lokasi” menurutnya ketika sidang media di NeSCOM.

Beliau berkata aliran air dari kawasan hulu (upstream) terus menuju ke kawasan hilir (downstream) dan sedikit kenaikan paras air dijangka berlaku di kawasan berisiko rendah.

Ir. Ts. Abd Hakim memaklumkan bahawa jangkaan air surut bergantung kepada perkembangan cuaca semasa. Berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, trend hujan kini bergerak ke arah pantai timur menunjukkan tanda-tanda pengurangan intensiti di Negeri Sembilan. Jika tiada hujan susulan, paras air dijangka mula surut seawal esok.

Beliau turut menyatakan bahawa semua agensi berkaitan pengurusan bencana telah berada dalam keadaan bersiap siaga. Antara agensi terlibat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Meteorologi dan semua Pejabat Daerah. Setakat ini, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menampung mangsa banjir.

Mengulas kemungkinan pertambahan mangsa, beliau tidak menolak kemungkinan tersebut namun keputusan pemindahan bergantung kepada tahap banjir di kawasan terjejas serta arahan Pegawai Daerah masing-masing.

Show More

Related Articles

Back to top button