Pasang Jalur Gemilang dengan kedudukan yang betul

SEREMBAN: Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini; Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menasihatkan masyarakat agar peka apabila memasang Jalur Gemilang dan pastikan kedudukannya betul.
“Kita telah merdeka 68 tahun.
“Janganlah menimbulkan kontroversi dengan adanya insiden yang menunjukkan pemasangan dan paparan di media sosial tidak mengikut garis panduan yang betul.
“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja, dengan penuh rasa bangga.
“Pastikan tiada Jalur Gemilang yang koyak atau lusuh, dipasang dengan hormat dan penuh adab kerana ini akan mencerminkan nilai diri kita sebagai rakyat Malaysia.
“Di sinilah peranan pemimpin tempatan, guru-guru, ketua komuniti dan penjawat awam untuk menunjukkan teladan yang baik dalam membudayakan patriotism,” ujar Aminuddin.
Aminuddin berkata, pemasangan Jalur Gemilang yang tepat mencerminkan semangat patriotik dan kefahaman terhadap simbol negara.
“Jangan kita biarkan semangat kebangsaan ini hanya berakhir dengan perarakan atau upacara rasmi tetapi jadikanlah ia satu gerakan hati nurani yang membawa makna besar kepada bangsa dan negara.
“Maka, saya ingin menyeru kepada semua jabatan, agensi, sekolah, premis perniagaan dan rumah kediaman di Negeri Sembilan untuk mengibarkan Jalur Gemilang bermula 1 Ogos sehingga 16 September,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin mengulas Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, ‘Malaysia MADANI:Rakyat Disantuni’, memberi makna yang mendalam kepada semua kerana ini bukan hanya slogan, tetapi prinsip asas dalam membina negara yang rahmah, berintegriti dan berdaya saing.
“Apabila kita menyebut ‘rakyat disantuni’, ini membawa mesej bahawa seluruh dasar dan tindakan Kerajaan perlu
berakar daripada suara rakyat, berpaksikan kebajikan rakyat dan menjulang maruah rakyat.
“Justeru, pengibaran Jalur Gemilang menjadi simbol komitmen kita terhadap makna sebuah bendera yang menyatukan semua kaum, kepercayaan dan latar belakang dalam satu semangat kebangsaan yang jitu, jelas beliau.
Untuk rekod, Pada 2 Jun 1997, tiga nama dicadangkan mengikut keutamaan, iaitu Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.
Akhirnya, Jalur Gemilang diterima sebulat suara dan dikibarkan dua minit sebelum menjelang tengah malam 31 Ogos 1997.
Sementara itu, Aminuddin memaklumkan, Program Kembara Merdeka Akar Umbi yang mula diperkenalkan pada tahun 2024 juga akan diteruskan pada tahun ini dengan penyertaan hampir 300 buah kenderaan melibatkan semua tujuh daerah di Negeri Sembilan.
“Seperti yang semua sedia maklum, kembara bermotorsikal ini adalah cetusan idea YB Exco Kanan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias dan edisi sulungnya telah berjaya dilaksanakan pada tahun lalu dengan penuh meriah dan unik. Syabas saya ucapkan!
“Untuk tahun ini pula, Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 sekali lagi akan menjelajah ke tujuh daerah di seluruh Negeri Sembilan dengan melibatkan lebih 200 buah motor berkuasa tinggi dan berpuluh kenderaan pengiring empat roda pada 30 Ogos 2025 nanti.
“Kali ini, Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 akan bermula di Dataran Majlis Perbandaran Jempol dan berakhir di Perkampungan Budaya Terachi di Kuala Pilah,” ujar Aminuddin lagi.
Menurut Aminuddin, pelbagai acara menarik akan diadakan di setiap persinggahan, dan acara kemuncak di Perkampungan Budaya Terachi pada malam 30 Ogos tersebut, termasuklah mempromosi Visit Negeri Sembilan 2026 oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.
“Justeru, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengajak semua untuk mewar-warkan program ini dan turut serta terlibat bagi kita memeriahkan semangat patriotisme di seluruh Negeri Sembilan.
“Semoga dengan pelaksanaan program ini, semangat ini akan terus mengalir bukan hanya dalam Bulan Kebangsaan, malah mewarnai setiap interaksi kita sebagai rakyat Malaysia yang saling menghormati, menyantuni dan bermuafakat,” ulas Aminuddin.